Persempadanan semula ikut populasi, Syahredzan bidas Muhyiddin

Persempadanan semula ikut populasi, Syahredzan bidas Muhyiddin

Syahredzan Johan berkata warga Bangi yang ditemui berpandangan 300,000 pengundi untuk suatu kawasan Parlimen terlalu besar.

Syahredzan Johan berkata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin harus berlaku adil kepada pengundi termasuk di kawasan bandar.
PETALING JAYA:
Persempadanan semula satu-satu kawasan Parlimen dilakukan mengikut populasi pengundi dan bukan dipecahkan mengikut kaum, kata Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan.

Membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berhubung persempadanan semula, wakil rakyat DAP itu berkata beliau harus berlaku adil kepada pengundi termasuk di kawasan bandar.

Menggunakan kawasannya sebagai contoh, Syahredzan menjelaskan warga Bangi yang ditemuinya berpandangan 300,000 pengundi terlalu besar untuk suatu kawasan Parlimen.

Beliau mengingatkan Muhyiddin bahawa pengundi Melayu di Parlimennya dua kali ganda keseluruhan pengundi di Parlimen Pagoh yang diwakili Muhyiddin.

“Kalau ikut data 2022, ada lebih daripada 147,000 pengundi Melayu di kawasan Parlimen Bangi. Jumlah pengundi di Pagoh (semua bangsa) lebih kurang 69,000 pengundi di kawasan Parlimen Pagoh.

“Maknanya, ada lagi ramai pengundi Melayu sahaja di Bangi berbanding kesemua pengundi di Pagoh,” kata Syahredzan di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa kemenangan PN pada PRK Pulai akan menyekat usaha persempadanan semula oleh kerajaan, yang menurutnya tidak menguntungkan orang Melayu.

“Saya boleh katakan rata-rata apabila saya berjumpa orang di Bangi, tidak kira kaum, mereka kata 300,000 pengundi untuk suatu kawasan Parlimen adalah terlalu besar.

“Ini suara mereka, bukan saya. Apa hak PN untuk lenyapkan suara mereka?” katanya.

Wakil rakyat DAP itu seterusnya menasihati pemimpin PN itu agar tidak memainkan sentimen dalam kalangan pengundi Melayu.

“Saya tidak mahu main polemik kaum sebab saya berkali-kali katakan saya wakil rakyat untuk semua kaum di Bangi, tetapi apabila ada yang cuba beri gambaran salah, maka perlu saya betulkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.