
Beliau berkata projek berkenaan merangkumi pembinaan parkir bertingkat serta pembinaan beberapa blok bertingkat baharu di HSA.
Katanya, bagi fasa pertama projek itu, pembinaan parkir bertingkat akan dilaksanakan segera dengan proses pembinaan mesti dilakukan bermula tahun ini.
“Untuk hospital ini (HSA) setakat fasa bertama, memerlukan RM500 juta, dan setelah berbincang dengan Kementerian Kewangan, kita mahu projek ini disegerakan dan projek berjumlah setengah bilion itu (RM500 juta) diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke HSA hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan dan Pengarah HSA Dr Sal Atan.
Anwar berkata hospital itu mempunyai keluasan sekitar 40 hektar dan ia mencukupi untuk membina parkir serta membangunkan beberapa lagi kompleks bertingkat bagi memenuhi keperluan perkhidmatan hospital dan menyelesaikan isu kesesakan pesakit.
“Kalau saya lihat tadi kesesakan itu (pesakit) tidak boleh ditahan lagi…katil dalam wad disusun sehingga ke tengah.
“Perkara ini telah terbengkalai sekian lama dan tiada tindakan… kini giliran saya dan Dr Zaliha Mustafa (menteri kesihatan) (selesaikan) kita ambil tindakan segera dan telah diluluskan,” katanya.
Ditanya sama ada pembinaan HSA 2 turut dibincangkan, Anwar yang juga menteri kewangan berkata projek berkenaan dalam perancangan lanjut.
“Itu (HSA 2) dalam rancangan yang kedua, kita selesaikan dahulu yang mendesak (parkir dan kompleks baharu di HSA).
“Yang lain (HSA 2) dalam rancangan separuh penggal RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12) dan berikutnya, tapi (keadaan HSA) tak boleh bertahan sementara menunggu hospital baharu,” katanya.