
Pada Ahad, bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, keputusan Perikatan Nasional (PN) mencalonkan bekas penjawat awam mencerminkan sokongan besar golongan itu kepada pembangkang.
Shahril berkata, trend sokongan sedemikian jelas mengambil kira corak pengundian polis dan tentera, selain kejayaan PN merebut kerusi Parlimen Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).
Pensyarah Universiti Sains Malaysia Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, walaupun Anwar bekerja keras dalam usaha memenangi keyakinan penjawat awam, hasilnya mungkin hanya dapat dilihat pada PRU akan datang.
“Beliau boleh menawan sokongan penjawat awam dengan mencadangkan penambahbaikan skim pencen dan meminta penyokong pro-PH mengelak daripada menyalahkan birokrat atas masalah ekonomi negara,” katanya kepada FMT.
“Untuk berjimat dalam skim pencen, pertimbang kurangkan pencen ahli politik berbanding penjawat awam. Segelintir ahli politik menerima pelbagai pencen, sedangkan penjawat awam lazimnya bergantung kepada satu pencen sahaja selepas bersara,” katanya.
Fauzi berkata, Anwar dibebani kenyataan dibuat individu seperti Tony Pua daripada DAP, yang pernah mendakwa terdapat terlalu ramai penjawat awam dan mereka membebankan kewangan negara.
Kenyataan seperti itu menjadikan penjawat awam cenderung menyokong PN, katanya.
Pua, yang pernah menjadi setiausaha publisiti kebangsaan DAP, kemudian dilantik menjadi pembantu kepada bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.
Penganalisis sosiopolitik, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya bersetuju bahawa penyelarasan gaji dan elaun dapat membuat penjawat awam lebih gemarkan Anwar.
Beliau berkata, membenarkan pegawai menerajui sektor masing-masing dalam kerajaan tanpa campur tangan politik akan menambah keyakinan dan mengukuhkan sokongan mereka terhadap pentadbiran Anwar.
Pada Julai, Anwar berkata, kerajaan sedang mempertimbang menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan 2024, yang dijadual dibentang di Parlimen bulan depan.
Jelasnya, ini pendekatan sementara sehingga kajian lebih mendalam berkait gaji dan skim saraan penjawat awam dilengkapkan tahun depan.
Dalam pada itu, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Anwar boleh menarik penjawat awam dengan menawarkan lebih banyak manfaat.
Bagaimanapun, beliau maklum “imej reformis” Anwar menyebabkan pentadbirannya tidak begitu digemari dalam kalangan penjawat awam.
“Paling tidak, ia dilihat mengancam kepentingan mereka dan tidak sejajar dengan sudut pandang konservatif kebanyakan antara mereka,” katanya.