Sukar anggap pelan pendidikan 2013-2025 berjaya, kata ahli pendidik

Sukar anggap pelan pendidikan 2013-2025 berjaya, kata ahli pendidik

Anuar Ahmad daripada UKM berkata, ada kandungan pelan itu berjaya namun sasaran hapus sekolah daif belum dicapai.

Sekolah daif menjadi kebimbangan dalam sistem pendidikan negara, kata Anuar Ahmad daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 sukar dikatakan berjaya memandangkan sistem pendidikan belum mencapai sasarannya, kata ahli pendidikan.

Berdasarkan garis masa pelan itu, Anuar Ahmad daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, perkembangan semasa dan pencapaian dilihat lebih sejajar dengan objektif ditetapkan dalam fasa kedua (2016-2020), berbanding fasa ketiga (2021-2025).

Anuar memberitahu FMT: “Contohnya, pelan menghapuskan sekolah daif pada 2016. Kalau kita lihat situasi hari ini, isu itu kekal menjadi kebimbangan kritikal dalam sistem pendidikan kita.

“Masih banyak lagi sekolah daif, sehingga kerajaan perlu memperuntukkan lagi RM1 bilion hanya untuk selesai isu berkenaan.”

Beliau mengulas susulan kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) minggu lepas bahawa pelan tersebut berjaya dilaksana sejak dilaksana 10 tahun lepas pada 2013.

Anuar mengakui ada kandungan pelan itu berjaya dan beberapa sasaran dicapai, namun menyatakan ia bukan “luar biasa”.

Pada Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan RM1.4 bilion membaiki sekolah daif. Ia sebagai tambahan kepada RM920 juta bagi kerja naik taraf sekolah daif, terutama di Malaysia Timur.

Anuar juga merujuk kepada sasaran Malaysia berada dalam kelompok negara satu pertiga tinggi dalam penilaian global, seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) dan Trends in International Mathematics and Science Study (Timss), dalam tempoh 15 tahun.

Bagaimanapun, pada 2021, negara masih berada di bawah ketiga bawah bagi kedua-dua penilaian tersebut.

“Berbaki dua tahun lagi, ini memberi cabaran. Lebih-lebih lagi kita tidak merancang apa jua pengukuhan atau pengenalan program baharu menuju ke arah itu. Tapi, jika kita anjak lingkup masa kepada 2030, mungkin kita ada ruang dan masa meningkatkan ranking dalam Pisa dan Timss.”

Dalam pada itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata, pelan merupakan “dokumen kukuh, praktikal, dan bercita tinggi” menekankan kepentingan bahasa Inggeris, dan membantu ibu bapa sedar bagaimana ia membantu anak-anak berkembang.

“Namun, di sebalik momentum awal, pelaksanaan pelan tindakan itu terbantut di peringkat sekolah dan pentadbir Kementerian Pendidikan mengenai langkah-langkah akauntabiliti,” kata pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim.

Sebagai contoh, Azimah berkata, “pimpinan sekolah” menjadikan pembukaan lebih banyak kelas dalam program Dwibahasa (DLP) yang dilaksana pada 2016, semakin sukar.

Menegaskan peri penting penguasaan bahasa Inggeris, beliau menggesa pihak kementerian meningkatkan jumlah kelas DLP, sambil mencadangkan kelas itu diperluas kepada setiap sekolah.

“Perlu ada sokongan tambahan kepada sekolah yang tidak dapat memohon DLP kerana tidak mencapai purata kebangsaan bagi bahasa Malaysia (BM). Dalam persekitaran menekankan BM, mengapa sekolah berkenaan masih gagal mencapai itu dan ia perlu disiasat dan mereka perlu dibantu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.