
Premier Sarawak berkata, sebaliknya ringgit kekal digunakan sambil menyifatkan cadangan dikemuka Nanta yang juga setiausaha agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu sekadar pandangan peribadi.
Katanya, penggunaan mata wang sendiri adalah isu cukup rumit dan perlu penelitian khusus.
“Tak tahulah, itu sekadar pandangan peribadi Nanta. Kita sudah ada mata wang Malaysia, jadi kita kena ikutlah (gunakan mata wang Malaysia),” katanya menurut Berita Harian selepas selepas merasmikan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Sarawak di Auditorium Muzium Kebudayaan Borneo, Kuching.
Beliau mengulas kenyataan Nanta yang membayangkan kemungkinan Sarawak boleh memperkenalkan mata wang sendiri susulan ekonomi yang tidak menentu di Malaysia.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata demikian dalam siaran audio siar bertajuk “Dari Malaya ke Malaysia: 60 tahun” semalam.
Nanta berkata, pengenalan mata wang Sarawak antara langkah boleh dipertimbangkan jika keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan ini berterusan.
Beliau berkata, jika ekonomi Sarawak begitu baik namun ekonomi negara sebaliknya, mungkin Sarawak akan mempunyai mata wang sendiri.
Namun, Nanta berharap orang ramai tidak menggelarnya “pengkhianat negara” kerana beliau bercakap dengan serius berhubung perkara itu.