Jenazah 6 beranak kemalangan selamat dikebumi

Jenazah 6 beranak kemalangan selamat dikebumi

Solat jenazah diimamkan oleh anak sulung dengan diiringi lebih 500 jemaah.

Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Segamat semalam selamat dikebumikan di Parit Jawa. (Gambar Bernama)
MUAR:
Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa.

Pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43; serta empat anak mereka Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5, dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira 4.50 petang tadi.

Jenazah enam sekeluarga itu dibawa dari Hospital Segamat dan tiba di Masjid Ubudiah kira-kira 3 petang sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan.

Anak sulung arwah, Abdurrahman, 19, mengimamkan solat jenazah tersebut dengan diiringi lebih 500 jemaah.

Kemalangan yang berlaku pada 6.37 petang semalam melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah treler, sebuah Honda HRV, sebuah Proton Wira, sebuah Perodua Bezza, dan Perodua Alza yang dinaiki mangsa sekeluarga.

Lima mangsa tersebut meninggal dunia di lokasi manakala Assyakrawi, meninggal ketika menerima rawatan.

Seorang lagi anak yang juga mangsa kemalangan, Abdullah, 15, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Segamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.