
William Ng, pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata, pengeluar mesti beralih daripada mentaliti “Buatan Malaysia” kepada pendekatan “Inovasi Malaysia”.
“PKS (perusahaan kecil dan sederhana) seharusnya tidak lagi menghadkan diri kita untuk menjadi pengeluar barangan (OEM), tetapi mesti manaiki rantaian nilai untuk menjadi pengeluar reka bentuk (ODM) dan pemilik jenama (OBM),” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, peralihan sedemikian bermakna bergerak ke arah menjalin kerjasama dengan pemain global untuk menyediakan keupayaan reka bentuk dan penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan akhirnya membangunkan jenama Malaysia yang terbaik dalam kelasnya.
“Untuk tujuan ini, PKS perlu memperdalam hubungan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, di mana kerja yang lebih intensif buruh boleh dilakukan di negara-negara tersebut,” katanya.
Tambahnya, pemilikan jenama dan reka bentuk dapat memberikan margin keuntungan dan nilai tambah yang lebih kukuh dan tinggi, berbanding aktiviti pembekalan komponen dan pemasangan yang bernilai rendah.
Ng turut menekankan keperluan untuk mendalami perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Trans-Pasifik dan perkongsian ekonomi serantau Asia-Pasifik agar kita dapat “mengguna pakai dengan lebih baik peluang rantaian nilai global”.
Katanya lagi, perlu juga berlaku peralihan daripada pendekatan “intervensi berasaskan geran”, yang dilihat memberikan manfaat kepada sekumpulan kecil perniagaan, kepada pendekatan “pembiayaan bersubsidi” untuk memacu perubahan cara pemikiran PKS.