
Setiausaha agung DAP itu berkata, perkara itu tidak perlu diungkit lagi atau mencipta polemik yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai.
“Tetapi apa yang penting pada hari ini, kita membentuk kerajaan perpaduan, bekerjasama atas parameter dengan paling penting kita mengangkat dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menurut Berita Harian selepas hadir ceramah Pakatan Harapan di Wisma DAP, Muar malam tadi.
Loke berkata, sebelum kerajaan perpaduan dibentuk, semua parti membuat perjanjian dan bersetuju tidak akan menyentuh “prinsip serta perlembagaan parti” masing-masing.
Pada masa sama, katanya, DAP juga tidak pernah meminta parti lain meminda perlembagaan kerana semua parti mempunyai prinsip perjuangan atau ideologi masing-masing.
“Presiden Umno Zahid Hamidi sendiri sudah berpuas hati dengan penjelasan kita sebelum Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.
“Peruntukan dalam perlembagaan DAP ialah beberapa perkara asas yang menjadi kebimbangan kepada orang Melayu sudah saya jelaskan.
“DAP mendukung prinsip terbabit termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Loke ketika mengulas lanjut berkata, lebih baik parti dalam gabungan kerajaan perpaduan menumpukan perhatian mendapat sokongan terutama pengundi Melayu.
“Tetapi saya nak nyatakan di kawasan saya (Parlimen Seremban) dengan pengundi adalah majoriti Melayu, tetapi saya menang, jadi tak timbul DAP tak boleh mendapat sokongan Melayu.
“Rakyat akan menilai bukan dari segi ideologi parti masing-masing tetapi gerak kerja kita, trek rekod berkhidmat di kawasan itu,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed menggesa DAP menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” daripada perlembagaan parti itu jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu.
Katanya, orang Melayu tidak menyokong DAP disebabkan agenda negara sekularnya, yang bercanggah dengan prinsip Islam dan Melayu.