Bantu kempen calon PH-BN, DAP beritahu MCA

Bantu kempen calon PH-BN, DAP beritahu MCA

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata MCA kelihatan 'tidak bersemangat dan menunjukkan hampir sifar kerja berpasukan serta perkongsian' semasa berkempen.

Teresa Kok berkata, ‘semua jentera MCA perlu diaktifkan dan dilibatkan’ bagi memastikan kemenangan PH-BN pada PRK di Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP menggesa MCA membantu kempen Pakatan Harapan-Barisan Nasional bagi PRK di Johor minggu depan.

Naib Pengerusi Teresa Kok berkata memandangkan MCA mempunyai empat Adun dan dua Ahli Parlimen di Johor, “semua jenteranya perlu diaktifkan dan dilibatkan” bagi memastikan kemenangan pada PRK.

Hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 Sept. Kerusi itu disandang Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang meninggal dunia Julai lalu.

Kok berkata, walaupun MCA menyatakan ia hanya akan berkempen untuk Umno dan BN dalam enam PRN bulan lalu, parti itu kelihatan “tidak bersemangat dan menunjukkan hampir sifar kerja berpasukan serta perkongsian” semasa berkempen.

Katanya, ini berbeza dengan Umno dan MIC, yang pemimpinnya berkongsi pentas dengan rakan sejawat PH semasa berkempen supaya penyokong mereka keluar mengundi beramai-ramai.

BN dan PH rakan kongsi dalam gabungan kerajaan perpaduan yang dipimpin Pengerusi PH, Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.

Kok berkata, perlembagaan MCA memfokuskan isu seperti perpaduan negara, keadilan sosial, dan keselamatan ekonomi, yang semuanya turut digalakkan kerajaan perpaduan.

Perlembagaan MCA turut menyeru parti itu “bekerjasama dengan organisasi politik lain yang mempunyai matlamat dan objektif sama bagi menggalakkan pembangunan sihat politik parti”.

Calon PH, Suhaizan Kaiat berdepan Zulkifli Jaafar dari Perikatan Nasional dan calon bebas, Samsudin Fauzi dalam PRK Parlimen Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman (PH) berdepan Mazri Yahya (PN) dan calon bebas, S Jeganathan di DUN Simpang Jeram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.