Pemimpin DAP akui ‘agak sukar’ pertahan Simpang Jeram

Pemimpin DAP akui ‘agak sukar’ pertahan Simpang Jeram

Ahli Jawatankuasa DAP Johor Ng Yak Howe bimbang peratusan keluar undi rendah pengundi Cina dan faktor pengundi Umno.

Ng Yak Howe yang juga Adun Bentayan (dua dari kanan), berkata pihaknya menaruh kepercayaan kepada Umno menyakinkan pengundi mereka memilih calon PH di Simpang Jeram. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP Johor mengakui “agak sukar” Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram susulan kebimbangan peratusan keluar undi rendah.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Ng Yak Howe, menyifatkan peluang gabungan itu menang di kawasan itu 50-50 selain faktor pendirian pengundi Umno.

“Setakat ini, peluang untuk kita menang 50-50, masih agak sukar dan mencabar lagi. Kita tak nampak kita mendahului ketika ini sebab ini bergantung kepada peratusan keluar mengundi, kalau pengundi Cina ramai keluar tidak ada masalah.

“Penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) juga sama, berapa ramai sebenarnya yang akan menyokong calon kerana penyokong Umno juga penentu yang penting untuk PRK kali ini,” katanya Adun Bentayan itu menurut Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Ng masih menaruh kepercayaan kepada Umno untuk meyakinkan pengundi mereka memilih calon PH, Nazri Abdul Rahman.

“Saya nampak pemimpin Umno bekerja keras cuba nak yakinkan penyokong mereka menerima, mencuba, dan menerangkan kenapa BN bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan kerajaan.

“Setakat ini, pengundi PH tahu keadaan ini dan faham kita perlu bekerjasama untuk tubuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau juga mengakui calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya mempunyai peluang untuk meraih sokongan majoriti pengundi Melayu berbanding Nazri, namun berharap pengundi di Simpang Jeram memilih pemimpin tempatan pada PRK kali ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.