Hilmy Othman angkat sumpah datuk bandar Kuching Utara

Hilmy Othman angkat sumpah datuk bandar Kuching Utara

Pelantikan Hilmy Othman bagi menggantikan Junaidi Reduan yang menamatkan perkhidmatannya sebagai datuk bandar Kuching Utara semalam.

Hilmy Othman mula berkhidmat di Majlis Bandaraya Kuching Selatan sebagai ahli majlis pada 2000 sebelum memegang jawatan timbalan datuk bandar pada 2017. (Gambar Facebook UKAS)
KUCHING:
Hilmy Othman, yang mengangkat sumpah sebagai datuk bandar Kuching Utara kelapan hari ini, akan memberi fokus terhadap pemerkasaan infrastruktur yang mesra manusia khususnya kepada kanak-kanak dan masyarakat menua.

Bekas timbalan datuk bandar Kuching Selatan itu berkata bagi menzahirkan usaha tersebut, beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak serta Datuk Bandar Kuching Selatan Wee Hong Seng.

“Inisiatif sebegini sudah dijalankan di bawah DBKU (Dewan Bandaraya Kuching Utara) dan MBKS (Majlis Bandaraya Kuching Selatan), tetapi kita mahu memberi penekanan pada kawasan tertentu berhubung kemudahan itu, justeru, lebih banyak usaha akan diambil bagi menyediakan kemudahan yang mesra kanak-kanak dan memenuhi keperluan masyarakat menua.

“Kita akan turut berbincang dengan MBKS serta kementerian lain terutamanya KPWK, diterajui Fatimah Abdullah, memandangkan sesetengah perkara memerlukan kelulusan Kabinet,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelantikan beliau yang diadakan di hadapan Premier Sarawak Abang Johari Openg di Wisma Bapa Malaysia.

Hilmy, 64, turut berharap agar lebih ramai pihak swasta tampil untuk terlibat dalam pembinaan fasiliti mesra manusia terutamanya untuk warga emas di bandar Kuching.

Pelantikan beliau, berkuat kuasa selama dua tahun, adalah bagi menggantikan Junaidi Reduan yang menamatkan perkhidmatannya sebagai datuk bandar Kuching Utara semalam.

Menjadikan Abang Johari sebagai mentor, beliau berkata pengalaman lebih dua dekad berkhidmat bersama MBKS di bawah empat datuk bandar, memudahkannya mengemudi pentadbiran DBKU.

“(Tanggungjawab) ini bukan perkara yang baharu untuk saya meskipun DBKU mempunyai struktur pentadbiran yang berbeza dengan MBKS.

“Saya juga akan mendapatkan nasihat dan kepakaran Datuk Junaidi dari masa ke masa,” katanya yang juga merupakan timbalan ketua cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Satok.

Hilmy mula berkhidmat di MBKS sebagai ahli majlis pada 2000 sebelum memegang jawatan timbalan datuk bandar pada 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.