
Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, berkata slogan “Malaysian Malaysia” sebelum ini digunakan oleh bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew dan parti PAP untuk menentang kerajaan diketuai perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman, merujuk kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu.
Sekiranya slogan itu selari dengan janji tersebut, kata Ti, DAP perlu mengakui kesilapan tersebut.
“Ini adalah isyarat paling mudah bagi DAP terhadap pemulihan sebuah ‘Malaysian Malaysia’ yang bersatu dan harmoni, yang merupakan impian seluruh rakyat Malaysia.
“Sekiranya konsep ‘Malaysian Malaysia’ selari dengan wawasan Tunku Abdul Rahman, maka DAP seharusnya menghuraikan konsep ini kepada semua rakyat di dalam konteks kepelbagaian budaya, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Ti juga mendakwa, pendirian DAP sering berubah mengikut masa termasuk baru-baru ini mengisytiharkan komitmen untuk menegakkan perjuangan Tunku Abdul Rahman dan Perlembagaan Persekutuan.
“Ini merupakan komitmen MCA yang ditiru oleh DAP. Ini adalah janji-janji DAP untuk hak sama rata yang menyebabkan MCA kalah lebih separuh kerusi Parlimen yang ditandingi semasa pilihan raya umum 1969. Seterusnya membawa kepada kejatuhan (parti) Perikatan dan Tunku Abdul Rahman (sebagai perdana menteri),” katanya.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Sheikh Omar Ali berkata slogan “Malaysian Malaysia” tidak melanggar mana-mana prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sheikh Omar berkata, semangat “Malaysian Malaysia” bukan ancaman kepada budaya dan agama masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau mengulas gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nur Jazlan Mohamed yang mahu DAP menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” daripada perlembagaan parti itu jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu.
Katanya, orang Melayu tidak menyokong DAP disebabkan agenda negara sekularnya, yang bercanggah prinsip Islam dan Melayu.