2 pemimpin PAS, Bersatu Johor didakwa akan sertai Amanah

2 pemimpin PAS, Bersatu Johor didakwa akan sertai Amanah

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata lebih 200 ahli parti itu juga akan mengikut jejak langkah pemimpin terbabit.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata dua bekas pemimpin PAS dan Bersatu akan menyerahkan borang keahlian Amanah pada majlis esok dan Ahad ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas Exco dan bekas Adun Johor dari PAS dan Bersatu akan menyertai Amanah bersama lebih 200 ahli parti tersebut, kata Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Tanpa mendedahkan identiti dua bekas pemimpin pembangkang itu, Aminolhuda berkata majlis penyerahan borang keahlian Amanah oleh mereka bersama ahli-ahli terbabit akan dilakukan di Sungai Abong, Muar, esok.

Katanya, sebahagian lagi akan berbuat demikian dalam satu majlis di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, Perling, di sini Ahad ini.

“Penyertaan bekas Exco dan bekas dun daripada Bersatu dan PAS ini adalah satu isyarat yang jelas terhadap penerimaan kepada perjuangan Amanah yang membawa semangat Rahmah seperti yang ditunjukkan oleh Allahyarham Salahuddin Ayub.

“Kami juga yakin bahawa kemasukan ini menunjukkan rakyat gembira dengan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Aminolhuda yang juga timbalan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata borang keahlian akan diserahkan kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam dua majlis ceramah di kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.