Selepas 30 tahun semua terlibat misi Bakara wajar diberi pengiktirafan, kata pesara

Selepas 30 tahun semua terlibat misi Bakara wajar diberi pengiktirafan, kata pesara

Ramai anggota yang terlibat dalam pertempuran di Pasar Bakara tidak mendapat sebarang pengiktirafan kerana terdapat kuota yang ditetapkan, kata Mazlan Fauzi.

Masih ada anggota yang terlibat dalam misi Bakara tidak mendapat pengiktirafan, menurut seorang pesara tentera. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Pesara tentera dari 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanize, Mazlan Fauzi, berharap agar semua anggota yang terlibat dalam pertempuran misi Bakara mendapat pengiktirafan yang selayaknya.
Mazlan Fauzi.

Kapten bersara berusia 54 tahun itu memaklumkan selepas 30 tahun masih ada anggota yang terlibat tidak mendapat sebarang pengiktirafan kerana terdapat kuota yang ditetapkan ketika itu.

“Bagi saya kematian dalam bidang pertempuran tiada kuota… isu pengiktirafan kita kena tengok balik. Belum terlambat lagi. Ini kerana ia bukan misi yang mudah,” katanya kepada FMT.

Beliau yang juga terlibat dalam misi tersebut berkata, pertempuran tersebut boleh digambarkan sebagai ‘berpantang maut sebelum ajal’ di mana semua anggota mempertaruhkan nyawa bagi menjayakan usaha menyelamat 70 orang tentera Amerika Syarikat yang terperangkap.

“Pertempuran ini bukan perkara yang orang kata enteng, sebab ianya melibatkan nyawa. Sebagai ketua platun bukan saya bertanggungjawab kepada nyawa saya sahaja, saya juga bertanggungjawab kepada nyawa anggota-anggota saya.

“Keduanya saya juga bertanggungjawab pada malam tersebut, kepada nyawa anggota-anggota AS (yang diselamatkan),” ujarnya.

Sementara itu, leftenan kolonel bersara, Kamal Idris Johari berkata sesuatu pengiktirafan amat besar maknanya bagi seorang tentera.

Beliau berkata, besar harapannya untuk kerajaan mewujudkan satu pingat khas kepada semua anggota yang terlibat dalam misi di Bakara, agar ia menjadi satu bukti dan ingatan untuk dihayati generasi akan datang.

Kamal Idris Johari.

“Kita ada buat pingat kemerdekaan, pingat jasa semasa darurat. Jadi kenapa tidak diadakan satu pingat yang khusus berkenaan dengan pertempuran ini supaya ianya menjadi satu ingatan dan perangsang kepada golongan anak muda kita di masa akan datang,” katanya.

Pada 4 Okt 1993, anggota daripada 19 RAMD Mekanize yang melakukan kerja-kerja pengamanan bawah panji PBB bertempur dengan militan Somalia dalam misi menyelamatkan askar AS termasuk daripada pasukan elit renjer yang dikepung di Pasar Bakara.

Pertempuran tersebut turut mengorbankan seorang anggota, Koperal Mat Aznan Awang yang maut selepas kenderaan yang dipandunya ditembak dengan senjata anti kereta kebal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.