
Lacey Elizabeth, 42, dari Kuching, Sarawak, ialah wanita tunggal menjadi pengendali anjing K9 terlibat dalam perarakan tersebut, yang turut disertai sembilan pengendali lain.
“Saya berbesar hati terima tanggungjawab ini, lebih-lebih lagi saya satu-satunya anggota wanita yang terpilih dalam pasukan K9 ini,” katanya yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
Sebanyak 10 ekor anjing K9 bomba terlibat dalam perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.
Unit K9 adalah sebahagian daripada kontinjen bomba yang terdiri daripada 249 anggota lain-lain pangkat, serta 46 aset yang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan 2023.
Lacey Elizabeth yang merupakan pengendali hero operasi mencari dan menyelamat, Grouse, berkata acara perarakan itu disertai Woody; Tipo; Lady; Sam; Razor; Buddy dan Eros, manakala Frankie dan Pop berada di atas jentera bomba bersama unit Storm.
Berkongsi mengenai cabaran yang dilalui ketika sesi latihan, Lacey Elizabeth berkata, semua pengendali anjing K9 terpaksa akur sekiranya haiwan terbabit keletihan akibat cuaca panas.
“Anjing tidak boleh lama terdedah dengan cuaca yang panas kerana mereka boleh kena strok haba,” katanya yang pernah mengikuti kursus pengendalian anjing K9 di United Kingdom pada 2006.
Berpuas hati dengan tahap disiplin anjing K9 sepanjang sesi latihan serta raptai penuh pada Selasa lepas, beliau menyifatkan hero berkaki empat itu sebagai wira yang terbaik dan mudah dikendalikan.
“Saya bagi mereka 10 bintang,” katanya sambil menambah, setiap kali berakhir sebarang acara, anjing K9 terbabit akan dilepaskan di kawasan padang di Jalan Klang Lama untuk dibiarkan berlari sepuasnya.
Secara keseluruhannya, lebih 19,000 peserta terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 hari ini.
Ini merupakan kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya. Sebelum ini, Putrajaya menjadi lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.