Hari Sabah dirai semula selepas 60 tahun

Hari Sabah dirai semula selepas 60 tahun

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata sambutan semula Hari Sabah itu bagi mengenang jasa pemimpin terdahulu dan pasukan keselamatan dalam memastikan Sabah serta negara aman dan makmur.

Sambutan Hari Sabah diserikan dengan perarakan kira-kira 500 peserta daripada 100 kontinjen, antaranya Angkatan Pertahanan Awam, Hospital Tambunan, Persatuan Kebajikan Prihatin Sabah dan Sekolah Adat Negeri Sabah. (Gambar Facebook)
TAMBUNAN:
Di samping sambutan Hari Kebangsaan, Sabah hari ini meraikan Hari Sabah, selepas kali terakhir disambut 60 tahun lepas.

Sambutan itu diserikan dengan perarakan kira-kira 500 peserta daripada 100 kontinjen, antaranya Angkatan Pertahanan Awam, Hospital Tambunan, Persatuan Kebajikan Prihatin Sabah dan Sekolah Adat Negeri Sabah.

Kehadiran Unduk Ngadau Kaamatan 2023, Carol Abbey Gail serta enam finalis lain pertandingan diiringi Pengerusi Pertandingan, Joanna Kitingan dalam sambutan itu turut menarik perhatian hadirin.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata sambutan semula Hari Sabah itu bagi mengenang jasa pemimpin terdahulu dan pasukan keselamatan dalam memastikan Sabah serta negara aman dan makmur.

“Menyedari pentingnya Hari Sabah ini kepada seluruh rakyat, maka kerajaan negeri memutuskan untuk mewujudkan kembali sambutan Hari Sabah di negeri ini dengan Tambunan menjadi tuan rumah tahun ini.

“Keputusan kerajaan negeri mengadakan semula Hari Sabah sebagai memperingati hari yang berakhirnya pemerintahan penjajah Inggeris di Sabah. Sementara Sarawak lebih awal mengisytiharkan 22 Julai setiap tahun sebagai Hari Sarawak,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Sabah di sini.

Daerah Tambunan terletak di bahagian pedalaman Sabah, kira-kira 75km ke tenggara Kota Kinabalu.

Hajiji berkata, Hari Sabah diisytiharkan Gabenor British, Sir William Goode pada 28 Ogos 1963 di Jesselton, kini Kota Kinabalu, dengan mengisytiharkan Sabah akan mempunyai kerajaan sendiri serta mengguna pakai Perlembagaan Negeri baharu, berkuat kuasa 31 Ogos 1963.

Dengan terbentuknya kerajaan sendiri itu, katanya, ia menjadi permulaan langkah lebih besar Sabah, iaitu membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 Sept 1963.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.