Penduduk Kg Sri Makmur mahu jumpa MB Selangor berhubung pengusiran

Penduduk Kg Sri Makmur mahu jumpa MB Selangor berhubung pengusiran

Mereka turut menyerahkan satu lagi memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selepas menyerahkan memorandum sama pada Mac dan Oktober 2022.

Penduduk Kampung Sri Makmur mengadakan demonstrasi selepas menyerahkan memorandum di pejabat Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
SHAH ALAM:
Penduduk Kampung Sri Makmur mahu menemui Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung pengusiran mereka bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Kira-kira 20 penduduk kampung itu berpiket di hadapan bangunan kerajaan negeri di Shah Alam, disertai wakil Gabungan Marhaen dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Mereka turut menyerahkan satu lagi memorandum kepada Amirudin berhubung isu sama sambil memaklumkan memorandum sama sudah diserahkan kepada menteri besar pada Mac dan Oktober tahun lepas.

Jurucakap kumpulan itu, Noora Mustafa berharap Amirudin akan mengadakan dialog dengan penduduk kampung atau memberi pampasan diharapkan, seperti digariskan dalam memorandum mereka.

“Kami tak mahu pun (tempat tinggal) percuma. Kami nak bayar. Tetapi kami mahu diberi jaminan tempat tinggal,” katanya kepada pemberita di sini.

Pertikaian tanah antara penduduk kampung dan pemilik tanah sekarang, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dibawa ke mahkamah pada Januari 2022, tetapi penduduk kalah.

Walaupun tiada notis pengusiran disampaikan ketika itu, PKNS dibenar mengarahkan penduduk kampung mengosongkan tanah tersebut.

Penduduk akhirnya diberikan notis pengusiran pada 18 Ogos dan diberi tujuh hari untuk mengosongkan kawasan itu. Bagaimanapun, mereka belum diusir dari kampung Kuala Selangor itu.

Noora sebelum ini berkata, penduduk kampung ditawarkan pampasan bersyarat sebanyak RM35,000 pada 2007, tetapi ramai gagal mendapat kelulusan proses pinjaman untuk menuntut jumlah itu. Penduduk kampung kemudiannya menuntut penempatan baharu tidak melebihi RM150,000.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan menggesa Amirudin menyelesaikan isu itu dengan mendakwa Pakatan Harapan sebelum ini berjanji tidak akan menghalau penduduk bagi memberi laluan kepada projek pembangunan sebelum menyediakan perumahan untuk mereka.

“Menjelangnya sambutan merdeka, hari yang menandakan kebebasan rakyat kita, adakah kita benar-benar merdeka? Ramai yang masih dibelenggu kemiskinan. Mereka inilah yang perlu dijaga.

“Kami meminta kerajaan Selangor, negeri paling maju di Malaysia, menunjukkan kuasa politiknya dengan menyelesaikan isu perumahan ini,” katanya ketika ditemui pada demonstrasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.