
Majistret S Punitha yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan Mohammad Nasriq Samsudin, 38, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Dia didakwa menakutkan mangsa dengan cara menyembunyikan namanya, membuat panggilan kepada Ahmad Farid Asorudin, 38, menyatakan terdapat bom akan meletup di Aeon Mall Klebang, Chemor.
Lelaki itu melakukan kesalahan itu di tingkat 1, Pejabat Pengurusan Aeon Mall Klebang, pada kira-kira 4.15 petang, 23 Ogos lepas dan didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Siti Hajar Hamzah.
Menjawab pertanyaan Punitha mengapa ugutan tersebut dibuat, Nasriq memberitahu panggilan itu adalah sekadar untuk bergurau tanpa menyedari ia adalah satu kesalahan.
Terdahulu, Siti Hajar dalam rayuan memohon agar mahkamah memberikan hukuman minimum kepada anak guamnya memandangkan dia bekerja secara sambilan dan memperoleh pendapatan secara harian bagi menyara diri.
Bagaimanapun, Fahmi memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara sebagai pengajaran kepadanya bahawa ugutan sedemikian bukanlah perkara yang dipermainkan kerana boleh menyebabkan kecemasan dan kegusaran kepada orang awam.