Contohi exco Selangor kurangkan persepsi dominans DAP, PM diberitahu

Contohi exco Selangor kurangkan persepsi dominans DAP, PM diberitahu

Penganalisis Azmi Hassan berkata, ini akan membantu kerajaan mengekalkan sokongan pengundi Melayu yang menganggap DAP terlalu dominan di Putrajaya.

Komposisi exco Selangor terdiri daripada tujuh orang Melayu, dua Cina dan seorang India bertujuan meredakan kebimbangan bahawa DAP mendominasi kerajaan negeri, kata penganalisis politik Azmi Hassan. (Gambar Pakatan Harapan)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim wajar mencontohi barisan exco Selangor dengan “menyusun” Jemaah Menterinya bagi mengurangkan apa yang dilihat sebagai dominans DAP di Putrajaya, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, penghalang terbesar untuk akar umbi Umno menyokong Pakatan Harapan adalah DAP yang dianggap ahli Umno memiliki peranan dominan di Putrajaya.

Katanya, agak mustahil untuk memaksa DAP berundur daripada Jemaah Menteri secara keseluruhan, namun cara terbaik bagi Anwar memenangi sokongan Melayu adalah mengurangkan persepsi DAP mendominasi kerajaan persekutuan.

“DAP setakat ini bersikap munasabah dan diam kerana menyedari kesan kurang baik sekiranya mereka terlalu dominan dan lantang dalam kerajaan persekutuan.

“Namun, dari perspektif pengundi Melayu, mereka melihat DAP terlalu dominan. Jadi, untuk jangka panjang, menyusun semula Jemaah Menteri mesti menggambarkan apa yang dilakukan Amirudin Shari di Selangor.

“Ini bukan untuk menunjukkan Umno dominan, sebaliknya PKR, Amanah dan Umno dapat mengawal DAP. Itulah strategi jangka panjang kerana sukar untuk mengukuhkan Umno saja. Tetapi, gabungan tiga parti itu akan mewujudkan rasa kuat,” katanya kepada FMT.

Barisan exco baharu Selangor merangkumi tujuh orang Melayu, dua Cina dan seorang India. Ketiga-tiga wakil bukan Melayu dari DAP.

Azmi berkata, barisan exco itu mungkin bertujuan meredakan kebimbangan bahawa orang Cina, menerusi DAP, mengawal kerajaan. Ini persepsi dibangkitkan PAS dan Bersatu dalam kempen PRN mereka awal bulan ini.

Sabtu lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, ahli Umno Pulai mungkin tidak memberi sokongan kepada calon Amanah, Suhaizan Kaiat dalam PRK 9 Sept ini.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pulai itu berkata, beliau akan menggunakan tempoh kempen selama dua minggu sepenuhnya untuk meyakinkan ahli Umno menyokong Suhaizan.

Sementara itu, James Chin dari Universiti Tasmania berkata, tindakan Umno menggunakan DAP untuk memomokkan orang ramai selama ini antara punca penyokong dan akar umbi Barisan Nasional sukar menerima pakatan baharu itu.

Katanya, DAP hanya mempunyai jumlah wakil sedikit dalam kerajaan, dengan hanya empat menteri berbanding enam dari Umno, walaupun ia parti terbesar dalam kerajaan perpaduan.

“Ahli Umno tidak dapat menerima Umno tiba-tiba berubah hala bekerjasama dengan ‘musuh tetap’ mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.