
“Cadangan oleh TPR bukanlah muktamad. Dalam kes kepentingan awam, keputusan akhir selalunya dibuat AG yang juga pendakwa raya,” kata bekas TPR enggan dinamakan itu kepada FMT.
Beliau mengulas memo dalaman pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (IPIC) kepada bekas peguam negara, Tommy Thomas pada September 2019 yang dikatakan dibocorkan, mencadangkan Jabatan Peguam Negara menggugurkan kes 1MDB melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Pada Oktober 2018, Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah didakwa atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan RM6.6 bilion dana kerajaan yang didakwa termasuk bayaran kepada IPIC.
Jabatan Peguam Negara sejak itu menyatakan sedang menyiasat kebocoran dokumen berkenaan, tetapi tidak mengesahkan kesahihannya.
Peguam Rafique Rashid Ali berkata, bekas AG, Apandi Ali pada awal 2016 “membersihkan” Najib daripada sebarang kesalahan jenayah melibatkan kes SRC International dan 1MDB.
Tetapi, siasatan lanjut dilakukan terhadap kedua-dua kes itu pada 2018 dan Najib kemudian didakwa atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang.
Katanya, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib dalam kes SRC International disahkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Permohonan semakan semula dikemukakan Najib turut ditolak.
“Bukti telah diuji di mahkamah, dan sembilan hakim yakin bahawa Najib bersalah atas tuduhan terhadapnya,” kata Rafique.
Sementara itu, perbicaraan terhadap Najib melibatkan 25 tuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berkait RM2.28 bilion dana 1MDB masih di peringkat pendakwaan.
Pendakwaan akan melaporkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Jamil Hussin pada 12 Sept ini sama ada Jabatan Peguam Negara menerima representasi difailkan Najib dan Irwan, memohon tuduhan dalam kes IPIC digugurkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu Mahkamah Tinggi pada 9 Ogos lalu, pihaknya menerima representasi Najib pada awal bulan ini, manakala Irwan memfailkan representasi lebih awal lagi.