
Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmad Lana berkata kakitangan tidak dapat menahan kesedihan kerana Yi Yi dan Sheng Yi membesar dalam persekitaran zoo itu sejak dilahirkan pada 14 Jan 2018 dan 30 Mei 2021.
Beliau berkata keletah dua anak panda itu sentiasa menjadi penghibur kepada pengunjung yang tertarik dengan kecomelan haiwan itu.
“Telatah kedua-duanya yang sepanjang masa suka bermain dan aktif menjadi tarikan pengunjung zoo. Kami bersyukur diberi masa untuk bersama dan terima kasih Yi Yi serta Sheng Yi, kami akan simpan kenangan, tawa dan kasih sayang yang dibawa,” katanya selepas Majlis Penghantaran Pulang Anak Panda Gergasi kedua dan ketiga, Yi Yi dan Sheng Yi di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara.
Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada 2014 untuk tempoh 10 tahun, sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa itu, membolehkan Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan mengenai pemuliharaan haiwan berkenaan, selain membangunkan dan melatih kepakaran tempatan.
Sehingga kini, pasangan panda itu yang dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang, melahirkan tiga ekor anak panda, iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan 18 Ogos 2015, Yi Yi dan Sheng Yi.
Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada 2017.
Mengikut perjanjian, setiap anak panda berkenaan perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia empat tahun.
Kehadiran haiwan tersebut di Pusat Konservasi Panda Gergasi turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dan membantu meningkatkan pendapatan Zoo Negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Huang Tiong Sii berkata penghantaran pulang Yi Yi dan Sheng Yi dilaksanakan sebagai mematuhi Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang ditandatangani antara Malaysia dan China itu.
“Yi Yi yang kini berusia lima tahun sepatutnya dihantar pulang pada 2020, tetapi terpaksa ditangguhkan susulan penularan pandemik COVID-19.
“Sheng Yi pula telah mencecah usia 24 bulan pada Mei lepas. CWCA (Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China) bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menghantar kedua-dua anak panda ini sekali,” katanya pada sidang media.
Dalam pada itu, Huang berkata satu penilaian bersama akan diadakan dengan CWCA bagi menilai pencapaian perjanjian projek kerjasama berkenaan.