
Rakyat Bantah Penghilangan Paksa (CAGED) turut menggesa Saifuddin melancarkan siasatan baharu terhadap setiap pegawai penguat kuasa terbabit dalam dua kes itu atas dakwaan penculikan.
“Jangan hina kami dengan kata komen atau tindakan mustahil kerana perkara itu di mahkamah. Kami meminta anda menghormati mahkamah dan bekerja seiring mereka demi keadilan. Jangan jadikan mahkamah sebagai alasan untuk tutup kegagalan,” katanya dalam kenyataan.
Memetik kesimpulan dibuat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa Amri dan Koh diculik Cawangan Khas Bukit Aman, kumpulan itu menggesa kerajaan perpaduan “berani melakukan” apa yang tidak dilakukan pendahulunya.
CAGED berkata, kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat penemuan Suhakam, walaupun laporannya diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Kami tiada sebab untuk percaya sebarang tindakan diambil sebagai respons terhadap laporan itu. Kami menganggap Jabatan Peguam Negara ada laporan itu.”
Ia turut mengkritik Jabatan Peguam Negara kerana merayu terhadap perintah mahkamah untuk kerajaan mengeluarkan laporan itu kepada keluarga Amri, dengan mendakwa tidak adil bagi defendan dalam saman sivil itu mempunyai maklumat yang tidak dimiliki plaintif.
Suhakam mengadakan inkuiri awam ke atas kehilangan Amri dan Koh antara 2017 serta 2019, sebelum membuat kesimpulan mereka adalah mangsa kehilangan paksa oleh kerajaan, khususnya Cawangan Khas.
Isteri Amri dan keluarga Koh kemudiannya memfailkan saman sivil secara berasingan terhadap kerajaan serta polis, antara lain.
Isteri Amri, Norhayati Ariffin dalam samannya berjaya memaksa kerajaan mengeluarkan laporan sulit pasukan petugas mengenai kehilangan suaminya.
Tetapi, kerajaan merayu terhadap keputusan mahkamah itu dan mendapat perintah penangguhan untuk menghalang laporan itu dikeluarkan.
CAGED berkata, Suhakam melaporkan “banyak kegagalan serius” dalam cara polis mengendalikan kes kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu.
“Kami menyeru menteri dalam negeri mendedahkan tindakan yang sudah diambil sebagai tindak balas (terhadap laporan Suhakam).”