
Menterinya, Mohamad Sabu, berkata walaupun jumlah berkenaan tidak besar, ia dilihat dapat membantu pengusaha kecil-kecilan yang terlibat dalam sektor itu.
“Nafas akan terus terlibat dalam industri ayam pedaging dan harga ayam sekarang pun sudah mulai stabil kalau naik pun tidak sampai ke harga syiling, jadi saya berterima kasih kepada semua pihak terlibat, penternak besar serta penternak kecil yang menyebabkan harga ayam dan telur terkawal.
“Kita mahu Nafas, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berganding bahu bagi memastikan keterjaminan makanan pada masa hadapan,” katanya selepas menghadiri Program Santai Peladang Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Pemimpin Peladang Zon Selatan 2023.
Turut hadir Pengerusi LPP Mahfuz Omar, Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas Zamri Yaakob, Ketua Pengarah LPP Azulita Salim dan Pengurus Besar Nafas Muhammad Faris Arriffin.
Terdahulu, Mohamad menyerahkan peruntukan daripada LPP bernilai RM2.35 juta kepada Nafas bagi Projek Menaik Taraf Bangunan Pusat Penetasan Anak Ayam (kompleks penetasan) yang dikendali syarikat subsidiari Nafas, Medan Juara Sdn Bhd (MJSB).
MJSB, yang beroperasi mengeluarkan anak ayam pedaging berumur sehari atau dikenali sebagai day old chicken (DOC) merupakan syarikat usaha sama utama Nafas dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor serta beberapa Pertubuhan Peladang Negeri.