‘Oyen Elmina dah tiada’

‘Oyen Elmina dah tiada’

Kucing itu disahkan mati semalam, 10 hari selepas ditemui cedera berhampiran lokasi nahas pesawat di Elmina.

Dr Zul Erwan Azmi memaklumkan Oyen tidak dapat bertahan daripada virus FIV dan jangkitan kuman cepat merebak akibat komplikasi luka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seekor kucing dinamakan Oyen yang ditemui cedera berhampiran lokasi nahas pesawat di Elmina, 17 Ogos lalu, dimaklumkan telah mati.

Perkembangan itu disahkan pemili Klinik Veterinar Zul Erwan, Dr Zul Erwan Azmi yang merawat kucing itu menerusi Instagramnya malam tadi.

Menurutnya, Oyen yang didapati positif virus FIV (Aids kucing) membuatkan sistem imun badannya terganggu dan komplikasi luka di tulang belakang membuatkan jangkitan kuman cepat merebak.

“Oyen mulai lemah dan rawatan telah diberikan sebaik mungkin tetapi tidak dapat bertahan,” katanya.

Media sebelum ini menyiarkan kisah kucing itu yang ditemui cedera berhampiran lokasi nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1).

Petugas kesihatan memberikan rawatan sebelum menghantarnya ke Klinik Veterinar Zul Erwan untuk rawatan lanjut.

Nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina itu mengorbankan 10 individu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

Mereka terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta, yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.