Mais anggap isu Fahmi didakwa kempen di masjid selesai

Mais anggap isu Fahmi didakwa kempen di masjid selesai

Majlis Agama Islam Selangor berkata pengarah komunikasi PH itu hanya menjelaskan isu semasa kerana disoal jemaah berkaitan aksi biadab The 1975.

Sebelum ini tular beberapa keping gambar  dengan dakwaan beliau berucap mengenai isu politik di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.  (Gambar social media)
PETALING JAYA:
Isu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang didakwa berkempen dalam sebuah masjid di Kundang, Rawang, Julai lalu dianggap selesai, menerusi siasatan dijalankan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata siasatan pihaknya mendapati pengarah komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu hanya menyatakan tentang isu semasa dan bukan berkaitan isu politik.

“Dia (Fahmi) menjawab soalan berkaitan dengan konsert (aksi biadab vokalis kumpulan muzik The 1975) dan tindakan diambil untuk menamatkan konsert berkenaan, kerana melanggar syarat dipersetujui bersama.

“Dia tidak sebut politik dalam masjid, pada pandangan saya (isu ini) selesai. Dia datang mahu solat, dia cari masjid dan surau berdekatan. Sebagai menteri dia jawablah dengan jelas soalan ditanya jemaah,” katanya menurut Bernama selepas menyempurnakan Program Serahan Jalur Gemilang dan pelepasan Konvoi Ziarah Merdeka Mais di Shah Alam.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa keping gambar Fahmi, dengan dakwaan beliau berucap mengenai isu politik di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.

Pada 2 Ogos, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata tiada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi hasil penelitian terhadap rakaman video berdurasi 12 minit di masjid itu.

Menurut Astro Awani, polis memanggil lapan saksi termasuk pengadu, dan mereka yang hadir ketika ucapan itu dibuat.

Sementara itu, Aziz berkata, Mais menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyantuni dan membantu waris Sharipuddin Shaari, seorang daripada mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, 17 Ogos lalu.

Beliau berkata, bantuan kecemasan RM500 diberikan LZS kepada balu mangsa Suriana Muda, yang merupakan suri rumah pada 21 Ogos lalu.

“Semakan juga mendapati waris perlu menanggung dua anak masih bersekolah dan ada beberapa cadangan bantuan mahu disampaikan, tapi kita tengok pada kelayakan dahulu antaranya bantuan kewangan bulanan, sewa rumah, makanan, dan persekolahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.