Ibu hamil bakal terima vaksin pertussis percuma tahun depan

Ibu hamil bakal terima vaksin pertussis percuma tahun depan

Pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria-pertussis (TDAP) kepada ibu hamil bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis.

Sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi inisiatif baharu itu yang dianggarkan meliputi 500,000 ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan inisiatif baharu, iaitu pemberian vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (TDAP) kepada semua ibu hamil di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Zaliha Mustafa, berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis, terutama dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

“Bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan mengalami komplikasi penyakit tersebut, seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak), dan kematian.

“Vaksin TDAP memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi inisiatif baharu ini yang dianggarkan meliputi 500,000 ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun.

Beliau berkata semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin TDAP ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.

“Pelaksanaan dijangka bermula pada 2024 setelah urusan perolehan bekalan vaksin TDAP selesai dan bekalan vaksin tersebut tersedia di fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.