Harga beras SST akan diselaras, kata menteri

Harga beras SST akan diselaras, kata menteri

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata dialog dengan pengilang beras tempatan sudah dijalankan beberapa hari lalu bagi tujuan penyelarasan itu.

Sebelum ini bekalan beras SST dilaporkan kehabisan stok menyebabkan pengguna terpaksa membeli beras lebih mahal.
PETALING JAYA:
Harga beras super spesial tempatan (SST) akan diselaraskan bagi memastikan tiada kenaikan harga di pasaran, kata Mohamad Sabu.

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata, satu dialog dengan pengilang beras tempatan sudah dijalankan beberapa hari lalu bagi tujuan penyelarasan itu.

Katanya, pertemuan itu membabitkan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood bersama pengilang di seluruh negara.

“Yang penting kita dapat menyelaraskan harga beras ini (SST) memandangkan beras import banyak di pasaran dan harga pun lebih tinggi,” katanya menurut Harian Metro selepas Program Santai Peladang di Muar, Johor.

Sebelum ini, bekalan beras SST dilaporkan kehabisan stok menyebabkan pengguna terpaksa membeli beras lebih mahal dan import berkualiti tinggi.

Kekurangan itu disebabkan cuaca panas dengan pengeluaran padi negara terjejas sehingga berlaku isu kekurangan bekalan beras itu di pasaran.

Sementara itu, Mohamad berkata ketika ini bahagian penguatkuasaan Pengawalan Padi dan Beras bergerak cergas untuk memastikan tidak berlaku perubahan kampit dan sebagainya.

Katanya, bagaimanapun pihaknya setakat ini belum menerima laporan mengenai kekurangan beras SST.

“Belum ada laporan, kalau ada kami akan bertindak pantas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.