3 wanita antara 14 umat Islam ditahan minum arak

3 wanita antara 14 umat Islam ditahan minum arak

Empat belas individu itu kemudian dilepaskan dengan bon jamin penguat kuasa bersama seorang penjamin dalam kalangan keluarga terdekat.

Seramai 39 pengunjung beragama Islam di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Ekram, Ipoh dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JAIPk bagi menjalani ujian saringan alkohol. (Gambar JAIPk)
PETALING JAYA:
Tiga wanita antara 14 umat Islam ditahan mengambil minuman keras di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Ekram, Ipoh Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata pemeriksaan sekitar 11.45 malam itu dijalankan 30 penguat kuasa agama bersama 11 anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Terdapat 39 pengunjung beragama Islam berada dalam premis tersebut dan dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JAIPk bagi menjalani ujian saringan alkohol.

“Hasil ujian tersebut, 14 orang berusia 20 hingga 51 tahun didapati positif alkohol,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 59 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 atas kesalahan meminum minuman memabukkan.

Katanya, semuanya dilepaskan dengan bon jamin penguat kuasa bersama seorang penjamin dalam kalangan keluarga terdekat mengikut Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004.

Mereka diperintahkan ke JAIPk pada 4 hingga 6 Sept ini untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.