Peniaga letak syarat beli gula berdepan tindakan

Peniaga letak syarat beli gula berdepan tindakan

KPDN berkata tindakan undang-undang akan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran pengawal bekalan.

Semalam, sebuah premis perniagaan di Batu Gajah, Perak, diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat mewajibkan pembelian 1kg gula putih jernih (premium) terlebih dahulu, jika mahu membeli gula pasir kasar.

Pemangku Menteri, Armizan Mohd Ali, berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran pengawal bekalan.

“Syarat itu tidak boleh diletakkan dan kalau ada, sila laporkan kepada kita kerana bawah perintah bekalan itu, peniaga tidak boleh meletakkan syarat sedemikian dan kita akan ambil tindakan bersesuaian.

“Kita ada terima (aduan) dan kita dapat selesaikan aduan itu serta-merta,” katanya selepas Program Bimbingan Usahawan & Sesi Libat Urus bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor di Hotel Holiday Villa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sebuah premis perniagaan di Batu Gajah, Perak, diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

Semalam, sebuah premis perniagaan di Batu Gajah diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

Armizan dalam pada itu berkata KPDN bersama beberapa kementerian seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), mencari solusi jangka panjang bagi mengatasi isu gula.

“Isu ini memerlukan solusi jangka panjang yang melibatkan beberapa kementerian dan baru-baru ini pun saya mempengerusikan beberapa mesyuarat, untuk mencari solusi jangka panjang.

“Kita juga akan pastikan pengilang yang bertanggungjawab untuk membekalkan gula rakyat bertapis putih (kasar dan halus) sebanyak 42,000 metrik tan sebulan, itu yang mereka perlu tunaikan begitu juga pemborong kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.