Gabungan ulama-profesional di Kelantan ‘petunjuk PAS tumpu pembangunan’

Gabungan ulama-profesional di Kelantan ‘petunjuk PAS tumpu pembangunan’

Seorang penganalisis berkata parti itu mahu melebarkan pengaruhnya melangkaui Kelantan dengan memberi tumpuan kepada isu pembangunan.

Nassuruddin Daud (kiri), seorang ulama, mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kelantan minggu lalu, dengan bekas pensyarah undang-undang Fadzli Hassan sebagai timbalannya.
PETALING JAYA:
Lantikan ulama dan profesional sebagai menteri besar dan timbalan di Kelantan dilhat memberi petunjuk kerajaan PAS serius membangunkan negeri Pantai Timur itu, kata penganalisis.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata PAS mahu meluaskan sokongan asasnya melangkaui Kelantan melalui penekanan pilihan pimpinan negeri yang melihat kepada isu pembangunan.

Negeri berkenaan dibelanggu dengan isu air berpanjangan, kurang peluang pekerjaan selain pelaburan, dan kemiskinan.

Nassuruddin Daud, seorang ulama, mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kelantan minggu lalu, dengan bekas pensyarah undang-undang, Fadzli Hassan sebagai timbalannya.

“Pimpinan baharu diharap dapat menanam keyakinan mereka berkebolehan mentadbir, dengan membuktikannya di Kelantan. Selain parti juga mahu menyegarkan semula sokongan asasnya,” kata Azmil.

Bercakap kepada FMT, beliau juga tidak melihat kombinasi pemilihan ulama-profesional mencetuskan apa jua perpecahan dalam parti, merujuk situasi pernah berlaku di mana ahli profesional meninggalkan parti dan seterusnya menubuhkan Amanah, pada 2015.

Katanya, golongan ulama dan profesional dalam parti itu hampir mempunyai ideologi sama.

“Golongan profesional sebelum ini yang lebih sederhana sudah dilupuskan daripada parti dan selepas itu menubuhkan Amanah.”

Nassuruddin, selaku ketua penerangan PAS Kelantan menggantikan Ahmad Yakob, yang juga berasal daripada latar belakang agama, seperti juga menteri besar sebelum ini.

Fadzli pula mempunyai latar belakang undang-undang dan pernah menjadi pensyarah sebelum terjun ke dunia politik.

Dalam pada itu, James Chin dari Universiti Tasmania, berkata pimpinan PAS memberi tumpuan untuk menguasai kerajaan persekutuan pada PRU akan datang, justeru potensi pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam kerajaan negeri dilihat agak minimum.

Katanya, jika ada sebarang percanggahan antara dua golongan itu, perbezaan mereka hanya dalam ruang lingkup kaedah membangunkan negeri.

“Ketegangan hanya berkait bagaimana membangunkan Kelantan berbanding perbezaan ideologi kerana tidak banyak beza antara golongan ulama dan profesional (dalam PAS),” kata Chin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.