10 lagi banyak daripada 4; gelombang rakyat apa, bidas Ahmad Maslan

10 lagi banyak daripada 4; gelombang rakyat apa, bidas Ahmad Maslan

Ahli MKT Umno tepis gembar-gembur bakal berlaku gelombang rakyat pada PRK di Johor.

Ahmad Maslan yakin pengundi di Pulai dan Simpang Jeram rasional dan tidak mahu kawasan mereka dikuasai pembangkang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahmad Maslan membidas gelombang rakyat digembar-gemburkan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sebagai cakap kosong.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, pihaknya yakin pengundi di Pulai dan Simpang Jeram cukup bijak membuat keputusan tepat bagi memilih wakil rakyat kawasan itu.

“Itu bukan gelombang rakyat, macam mana pula itu dipanggil gelombang rakyat, ini kerana Malaysia ada 14 negeri dan mereka dapat (mentadbir) empat negeri sahaja, kita (kerajaan perpaduan) ada 10 (negeri). Takkan mereka tidak tahu matematik, 10 negeri jauh lebih banyak daripada empat (negeri).

“Itu hanyalah gelombang hijau yang tidak sampai ke mana dan empat negeri itu sajalah gelombangnya. Kita minta supaya pengundi di Johor ini tidak akan memasukkan mereka dalam Parlimen mahupun DUN (memenangi PRK),” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat daerah mengundi (PDM) Taman Bukit Kempas, Johor Bahru.

Ahmad yakin pengundi di Parlimen dan DUN tersebut rasional dan tidak mahu kawasan mereka dikuasai pembangkang.

“Perlu diketahui bahawa di peringkat pusat sudah selesai dan kerajaannya adalah kerajaan perpaduan. Kalau lain yang dipilih di sini, sudah tentu akan menjadi pembangkang termasuklah di bawah kerajaan negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.