
Setiausaha agung PN berkata, penafian oleh pemimpin Umno sama seperti dilakukan pada PRN lalu dan apa berlaku adalah sebaliknya.
“Mereka boleh kata kita syok sendiri, tetapi mereka perlu sedar bahawa itu adalah sindrom penafian, masa PRN baru-baru ini pun mereka katakan perkara sama.
“Jadi, kita tidak ambil kisah tentang apa yang mereka cakap, sebab rakyat pun tahu apa dikatakan mereka itu menjejaskan apa-apa, kenyataan itulah yang menunjukkan bahawa mereka syok sendiri,” katanya selepas mengiringi calon PN Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, menurut Utusan Malaysia.
Rabu lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed dipetik sebagai berkata, dakwaan gelombang PN bakal melanda Johor pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, bagai bermimpi di siang hari.
Katanya, PN yang membabitkan Bersatu, PAS dan Gerakan tiada kekuatan di negeri itu dan hanya berkisar di bahagian utara Johor iaitu Pagoh menerusi Ahli Parlimennya Muhyiddin Yassin dan Parlimen Mersing.
Dalam pada itu, Hamzah berkata pemilihan Zulkifli sebagai calon adalah tepat kerana dekat dengan masyarakat.