
Menegaskan perkara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno tidak mahu disebabkan keghairahan berkempen selama dua minggu, ada pihak yang menunjukkan tindakan kurang baik dan mengganggu-gugat keharmonian sedia ada.
“… sebagai menteri besar (saya minta) semua pihak sama ada sebelah sana dan sini, sama-sama berkempen secara berhemah, tertib dan baik supaya keharmonian Bangsa Johor dikekalkan, jangan disebabkan keghairahan berkempen hingga terpengaruh dengan cara kawan-kawan negeri lain.
“Johor ada cara Johor, Bangsa Johor sangat tahu apa saya maksudkan itu,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon Amanah mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu, Nazri Abdul Rahman di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.
Beliau juga mengingatkan jentera kerajaan perpaduan bekerja keras dan berusaha memastikan kemenangan berpihak kepada Nazri, yang diyakini mampu berjasa kepada rakyat.
Beliau menyifatkan anak jati Simpang Jeram itu sebagai calon sangat tepat untuk kerusi berkenaan, bersandarkan ketokohan dan pengalaman besar Nazri sebagai jurutera selama hampir 30 tahun di Majlis Perbandaran Muar.
“Beliau individu yang baik dan rajin, ramai rakyat Simpang Jeram mengenali beliau dan jadi lebih mudah untuknya mendekati dengan pengundi di kawasan ini,” katanya.
PRK kerusi itu menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Nazri, calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS Dr Mohd Mazri Yahya dan bebas, S Jeganathan.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan raya, terdapat 40,379 pengundi di DUN Simpang Jeram.