
Dalam aksi perlawanan ke-21 Liga Super itu, Kelantan “dibelasah” Selangor FC 11-2 di gelanggang sendiri.
Beberapa hantaran video berdurasi lapan hingga 12 saat menunjukkan sekumpulan penyokong dengan percikan api melaungkan kata-kata mahu pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman melepaskan The Red Warriors, menurut Harian Metro.
Tindakan itu dipercayai dilakukan penyokong di tempat letak kereta berhadapan stadium ketika perlawanan masih berlangsung.
Bagaimanapun, situasi itu dapat dikawal dan hanya berlangsung beberapa minit sebelum ditenteramkan anggota polis.
Kekalahan terbesar itu turut meninggalkan kesan ke atas penjaga gol Kelantan, Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi yang kelihatan terlalu sedih sehingga terpaksa dipapah keluar rakan sepasukan selepas wisel penamat dibunyikan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TRW Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid, dalam hantaran di Facebook memaklumkan pihaknya akan bertanggungjawab penuh terhadap kekalahan itu.