‘Blok Borneo’ tak wujud, kata bekas KM Sabah

‘Blok Borneo’ tak wujud, kata bekas KM Sabah

Salleh Said Keruak juga menolak penjenamaan Ahli Parlimen dan ahli politik dari Sabah dan Sarawak sebagai 'kingmaker'.

Salleh Said Keruak berkata Malaysia mesti bersatu untuk menjana aktiviti ekonomi dengan peluang pekerjaan baik untuk semua dan melihat kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak menggesa pengulas politik tidak menjaja perpecahan dalam kalangan rakyat dengan menggunakan konsep menjurus kepada pengasingan.

“Baru-baru ini, beberapa penganalisis politik cuba membayangkan kewujudan apa yang mereka gelar sebagai ‘Blok Borneo’ untuk menentang naratif yang berleluasa di Semenanjung, khususnya sekitar kaum dan agama.

“Sebagai orang Sabah, saya kurang senang dengan perbincangan sebegini. Ini menunjukkan kita hanya bermotivasi untuk meningkatkan kuasa politik di peringkat persekutuan,” kata Adun Usukan itu.

Salleh memberitahu FMT, kebimbangan utama semua pemimpin Sabah, termasuk dirinya, adalah kesejahteraan ekonomi rakyat, negeri dan negara.

“Ini bermakna kita prihatin terhadap kebajikan rakyat secara keseluruhan.

“Sama ada mereka tinggal di bandar, pekan atau di luar bandar, kita mesti memastikan ketersediaan aktiviti ekonomi baharu dengan peluang pekerjaan yang baik untuk semua, penjagaan kesihatan, kebajikan sosial, dan infrastruktur lebih baik, termasuk ketersediaan elektrik, bekalan air dan internet,” katanya.

Salleh menggesa pengulas politik dan media berhenti menjenamakan Ahli Parlimen dan ahli politik dari Sabah dan Sarawak sebagai “kingmaker” dan mengelak mengaitkan mereka dengan sebarang rancangan untuk menyokong atau menjatuhkan mana-mana kerajaan.

“Saya yakin saudara-saudara kita di Sarawak berkongsi pendapat sama.

“Kita menghampiri Hari Sabah yang disambut julung kali di peringkat negeri, serta Hari Merdeka dan Hari Malaysia di peringkat kebangsaan.

“Mari kita fokus untuk mengumpulkan sumber dan bakat kita untuk membina seluruh Malaysia dengan potensi sepenuhnya, bukannya mengamalkan pengasingan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.