Pengundi muda konservatif, dipengaruhi ibu bapa, kata ahli akademik

Pengundi muda konservatif, dipengaruhi ibu bapa, kata ahli akademik

Tanggapan bahawa pengundi muda lebih progresif ternyata 'tidak berasas', menurut Abdul Muqit Muhammad.

Golongan belia beralih kepada PAS dan Bersatu apabila Umno menjadi semakin tidak relevan, menurut Abdul Muqit Muhammad
PETALING JAYA:
Pengundi muda adalah konservatif, kata seorang ahli akademik ketika menjelaskan kemajuan dicapai Perikatan Nasional (PN) yang memenangi banyak kerusi pada PRN baru-baru ini.

Abdul Muqit Muhammad dari Universiti Malaya berkata, tanggapan bahawa pengundi muda lebih progresif “tidak berasas” dan trend ini pertama kali dilihat pada PRU15 November lepas.

Muqit, yang mengkaji pengundi di kawasan majoriti Melayu memberitahu bahawa beliau mendapati golongan belia bersikap sentimental dan banyak dipengaruhi oleh ibu bapa mereka, walaupun mempunyai kecenderungan untuk mengundi berlainan.

“Populisme Melayu dikukuhkan dengan trend yang membawa naratif Melayu Islam di media sosial, naratif sejarah popular dan ‘pseudo-history’,” katanya pada wacana pasca PRN anjuran Ilham Centre.

Pada 12 Ogos, PN mengekalkan tiga negeri yang diterajuinya sebelum ini, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain mencatat keputusan baik di Selangor, kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Menurut Muqit, pengundi muda tertarik kepada institusi komunal, berupa parti politik seperti Umno yang dilihat tidak lagi relevan menyebabkan mereka beralih kepada PAS dan Bersatu, dua parti Melayu dalam PN.

“Orang muda dianggap ‘anti-establishment’, yang juga boleh hadir dalam bentuk konservatif,” katanya

Tambahnya, golongan belia lebih aktif berpolitik di media sosial, faktor yang dieksploitasi PAS.

“Dan PAS sudah ‘berkampung’ di TikTok sejak 2016,” katanya mengenai platform perkongsian video yang dilancarkan pada September tahun yang sama.

Muqit berkata, jika parti politik kerajaan mahu menarik pengundi dalam dunia digital, mereka perlu memahami naratif utama PN yang menjurus ke arah nasionalisme berasaskan etnik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.