
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam kenyataan berkata, pakar-pakar terpilih itu, daripada pelbagai bidang, hasil saringan ribuan pemohon yang menyahut undangan kementerian, agar jawatankuasa kerajaan disertai oleh penggiat industri.
MED4IRN bertanggungjawab merangka dasar, berkongsi nasihat pakar, dan membimbing pelaksanaan pada semua peringkat pentadbiran dan sektor ekonomi, menurutnya.
“Melalui rangka kerja MED4IRN, kerajaan mengambil pendekatan bersepadu dalam membangunkan ekosistem ekonomi digital yang cergas. Ini dilakukan melalui pembentukan dasar, pelaksanaan inisiatif, dan pendanaan yang melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta,” kata Rafizi.
Antara 12 wakil yang dilantik ke MED4IRN termasuk Ketua Teknologi NanoSkunkWorkX Wan Wardatul Amani Wan Salim, Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Group Tan Aik Keong, dan Ketua Pegawai Eksekutif SOLS Foundation Raj Ridvan Singh.
MED4IRN yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut dianggotai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; dan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.