
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bahawa tidak ada keadaan istimewa untuk menangguh perbicaraan.
“Kami juga tidak bersetuju dengan peguam (Shafee Abdullah) bahawa rayuan Najib agar hakim perbicaraan menarik diri akan menjadi batal jika penangguhan tidak dibenarkan,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.
Beliau berkata tiada sebab kukuh untuk menangguhkan perbicaraan dan, oleh itu, permohonan itu tidak mempunyai merit.
Hadshariah menambah kepentingan awam menuntut perbicaraan itu perlu diteruskan.
“Perbicaraan itu di peringkat lanjut kerana terdapat 173 hari prosiding dengan 46 saksi pendakwaan dipanggil setakat ini,” katanya.
Perbicaraan, yang kini berada di penghujung kes pendakwaan, akan disambung semula pada Isnin.
Shafee kemudiannya memberitahu pemberita bahawa beliau telah diarahkan oleh Najib untuk memfailkan usul baharu di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penangguhan perbicaraan.
“Kemungkinan besar permohonan akan difailkan pada hari Isnin,” tambahnya.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Minggu lalu, hakim perbicaraan Hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib untuk membatalkan kelayakannya daripada mendengar kes 1MDB selepas hakim itu mendedahkan bahawa dia dan bekas peguam bela am 1MDB Jasmine Loo adalah rakan kongsi dalam sebuah firma guaman.
Sequerah juga menolak penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan Najib, yang difailkan serta-merta.
Loo, dipercayai bekas sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang didakwa dalang di sebalik skandal 1MDB.
Dia ditangkap dan direman oleh polis bulan lalu untuk siasatan berkaitan 1MDB.
Sequerah juga berkata tiada keadaan istimewa untuk mewajarkan penangguhan prosiding sementara menunggu rayuan, dan mengarahkan perbicaraan diteruskan dengan keterangan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata Najib gagal membuktikan terdapat risiko berat sebelah jika hakim itu terus mendengar perbicaraan.
Tambahnya, Loo telah meletak jawatan daripada firma guaman itu kira-kira 15 tahun lalu dan tidak ada komunikasi antara mereka secara peribadi atau profesional sejak itu.
Shafee menambah bahawa permohonan penangguhan adalah penting kerana Najib telah meminta perbicaraan 1MDB diisytiharkan terbatal, dimulakan semula, atau hakim lain menggantikan Sequerah jika permohonan tarik diri dibenarkan.
Kamal berhujah bahawa kepentingan awam menuntut supaya perbicaraan jenayah tidak ditangguhkan atas urusan interlokutori, seperti permohonan penangguhan.
“Orang yang dituduh juga tidak akan mendapat peluang untuk membersihkan nama mereka jika perbicaraan ditangguhkan,” katanya sambil menambah bahawa tertuduh adalah bekas perdana menteri.
Kamal juga berkata pihak pendakwaan belum memutuskan sama ada Loo perlu dipanggil untuk memberi keterangan.