Menantu Muhyiddin, peguam dalam senarai Notis Merah Interpol

Menantu Muhyiddin, peguam dalam senarai Notis Merah Interpol

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan Notis Merah dikeluarkan ke atas dua lelaki itu yang dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan.

Adlan Berhan dan Mansoor Saat menafikan mereka melarikan diri daripada undang-undang. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Menantu Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan bersama peguam Mansoor Saat kini dalam senarai Notis Merah Interpol.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia.

“Ya, sudah. Tindakan Notis Merah dikenakan terhadap mereka,” katanya kepada akhbar itu.

Pada 15 Ogos lalu, Razarudin dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permintaan lisan untuk Notis Merah ke atas Adlan dan Manoor, serta pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi antirasuah itu untuk membawa pulang dua individu dikehendaki terbabit.

Adlan dan Mansoor dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan sebuah projek membabitkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

SPRM berkata, mereka meninggalkan Malaysia Mei lalu.

Tetapi, Adlan dan Mansoor kemudiannya mengeluarkan kenyataan melalui peguam menafikan mereka melarikan diri daripada undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.