
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, kajian sedang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar alam sekitar bagi menilai risiko sebelum membuat sebarang pendirian.
“Belum buat keputusan (sekat) dan pendirian akan dibuat sekiranya kajian menunjukkan bahaya,” katanya selepas merasmikan Show-tech Mardi anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di sini.
Media melaporkan beberapa negara, termasuk China dan Hong Kong melarang pengimportan makanan laut dari Jepun susulan pelepasan air radioaktif terawat itu.
Sementara itu, Mohamad berkata, fokus kerajaan adalah pada keterjaminan bekalan makanan khususnya beras, memandangkan negara seperti India dan Vietnam memberi amaran awal akan menaikkan harga atau lebih membimbangkan, menghentikan eksport.
Katanya, persediaan awal perlu dibuat untuk mencukupkan bekalan beras menerusi teknologi baharu dan penyelidikan, susulan kebergantungan import beras negara ketika ini sebanyak 35%.