Insiden bom takkan halang saya bersuara, kata Siti Kasim

Insiden bom takkan halang saya bersuara, kata Siti Kasim

Bagaimanapun, aktivis itu berkata, beliau sentiasa bimbang dengan keselamatannya sejak bom ditemui di bawah keretanya.

Siti Kasim tidak berputus asa, walaupun ditakutkan dengan insiden bom baru-baru ini dan akan terus memperjuangkan hak asasi manusia.
PETALING JAYA:
Aktivis, Siti Kasim berikrar terus menyuarakan pandangannya dan tidak terpengaruh dengan perasaan takut terhadap insiden bom bulan lalu.

Julai lalu, Siti dimaklumkan mengenai objek mencurigakan di bawah keretanya ketika pemeriksaan rutin kenderaan itu di sebuah bengkel di Bangsar yang menyebabkan unit pemusnah bom terpaksa dipanggil.

Polis kemudian mengesahkan objek itu ialah Improvised Explosive Device (IED).

Minggu lalu, polis Kuala Lumpur mengakui siasatan terhadap kejadian itu menemui jalan buntu kerana tiada suspek dikenal pasti.

Pun begitu, peguam yang terkenal dengan kelantangannya dalam isu hak asasi manusia itu, tidak berputus asa dan tidak akan mendiamkan diri.

“Bagaimana saya boleh henti bercakap tentang sesuatu yang merupakan minat saya?” katanya kepada FMT.

“Saya tidak akan berhenti kerana seperti saya katakan sebelum ini, semua orang akan mati (akhirnya), tetapi Tuhan masih sayangkan saya.

“(Saya percaya) sesuatu yang baik mungkin datang daripada ini. (Itu menunjukkan) ada orang cukup gila melakukan (ini) kepada orang seperti saya yang tidak menyakiti orang lain, kecuali berpendirian teguh dengan kepercayaan saya. Ini tidak akan menghalang saya.”

Siti berkata, sejak insiden itu, beliau kini hidup dalam “kebimbangan berterusan” dan akan memastikan untuk memeriksa keretanya sebelum memandu.

Katanya, beliau dinasihatkan mengupah pengawal peribadi dan pemandu, tetapi tidak mampu berbuat demikian.

“Jika saya tidak (risau), maka saya bukan manusia. Tetapi, ia tidak menghalang saya daripada melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan.

“Tetapi, saya kurangkan keluar, jika ia tidak penting. Ada IED diletakkan bawah kereta anda. (Itu) kurang menyenangkan.

“Namun, orang seolah-olah berkata, ‘Jangan risau tentang perkara itu.’ Memang mudah untuk orang lain kata begitu, tetapi ini nyawa saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.