Ahli Parlimen DAP cadang reka semula seragam polis

Ahli Parlimen DAP cadang reka semula seragam polis

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata uniform anggota keselamatan itu perlu direka semula untuk meningkatkan keselesaan.

Lim Lip Eng berkata uniform polis ketika ini mempunyai terlalu banyak lencana besi, tembaga dan aloi, dan turut menggunakan butang besi.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP mencadangkan kepada kerajaan untuk mereka semula pakaian seragam anggota polis susulan keputusan membenarkan kakitangan awam memakai baju batik setiap hari ketika bekerja.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata kerajaan boleh mengambil contoh Singapura dan Jepun yang mereka semula uniform anggota keselamatan untuk meningkatkan keselesaan.

“Kita boleh belajar dari Singapura yang mereka semula uniform polis dengan kerjasama pegawai sains dan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Uniform mereka menggunakan fabrik yang menyerap cecair dengan lebih baik dan ia juga cepat kering. Ini membantu anggota polis berdepan dengan cuaca panas dan lembap.”

Lim berkata, uniform polis ketika ini mempunyai terlalu banyak lencana besi, tembaga dan aloi, dan termasuk butang besi. Katanya, sebagai perbandingan uniform polis Singapura dan Jepun menggunakan lencana sulam.

“Butang pada uniform polis Jepun dan Singapura adalah daripada plastik tetapi di Malaysia kita masih menggunakan butang besi,” katanya.

Kata Lim, warna uniform polis juga perlu diubah, seperti memilih warna biru lembut untuk uniform polis Jepun.

“Kita mungkin boleh memilih warna biru untuk uniform kerana ia kurang panas,” katanya.

Pada Selasa lalu, kerajaan mengumumkan semua kakitangan awam dibenarkan memakai baju batik setiap hari, apabila suhu di semua pejabat dan premis kerajaan ditetapkan antara 24 hingga 25 darjah Celcius.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata memakai baju batik akan memberi keselesaan kepada penjawat awam.

Tambahnya, inisiatif itu akan membantu kerajaan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, menyokong inisiatif kecekapan tenaga dan sekali gus merangsang pembangunan industri batik Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.