
Ketua Pengarah Kesihatan Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes pertama yang disahkan pada 26 Julai lepas membabitkan seorang lelaki warga asing yang tinggal dan bekerja di Malaysia.
Dia dipercayai dijangkiti cacar monyet semasa berada di luar negara, kata Muhammad Radzi.
“(Kes pertama) mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes cacar monyet pada 6 Julai 2023 dan kembali semula ke Malaysia pada 10 Julai 2023,” katanya.
Lelaki berkenaan kemudian menjalani isolasi dan dibebaskan pada 10 Ogos lepas setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi.
Sementara itu, kes kedua, yang disahkan positif pada 29 Julai, membabitkan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan kontak kepada kes pertama.
“(Kes kedua) diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai 2023 dan disahkan positif (cacar monyet) pada 29 Julai 2023.
“Beliau masih dalam tempoh isolasi dan dalam keadaan sihat,” kata Muhammad Radzi.
Tambahnya, semua kontak bagi kes pertama telah dikenal pasti dan didapati tiada yang mengalami gejala jangkitan cacar monyet, sementara kes kedua tidak mempunyai kontak rapat.
Muhammad Radzi menasihatkan agar semua pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan.
Gejala jangkitan cacar monyet termasuk demam, keletihan, sakit kepala, serta ruam yang bermula di muka kemudian merebak ke seluruh badan.
Individu yang dijangkiti juga mungkin mengalami lenguh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.