Tukar presiden bukan tindakan wajar, kata Wanita Umno

Tukar presiden bukan tindakan wajar, kata Wanita Umno

Ketua Wanita Noraini Ahmad berkata Umno perlu mengenal pasti kehendak rakyat dan mengembalikan sokongan mereka kepada parti.

Perwakilan Wanita Umno dalam himpunan solidariti bersama presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Menukar presiden parti bukan tindakan wajar buat masa ini, kata Wanita Umno.

Ketuanya, Noraini Ahmad, berkata sebaliknya Umno perlu mengenal pasti apa kehendak rakyat dan mengembalikan sokongan mereka kepada parti.

“Kita sedar, musuh tidak mahu melihat Umno bangkit. Setiap peluang dan ruang digunakan untuk menjatuhkan institusi presiden dan parti ini.

“Parti ini perlu dijenamakan semula imejnya dan diperkasakan nilainya,” katanya ketika berucap dalam himpunan solidariti Wanita bersama presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Dalam pada itu, Noraini berkata Umno perlu melakukan tindakan yang radikal atau luar biasa untuk memulihkan semula imej parti di mata rakyat.

Katanya, Umno tidak boleh lagi menggunakan kaedah dan strategi sama untuk mendapat hasil yang berbeza.

“Ini bukanlah masa untuk kita menyalahkan mana-mana pihak. Seluruh ahli parti perlu bersama mencari jalan terbaik untuk kita memenangi hati rakyat semula,” katanya.

Sementara itu, 14 ketua Wanita Umno setiap negeri mempertahankan Zahid Hamidi supaya tidak meletakkan jawatannya sebagai presiden.

Mereka beranggapan kekalahan Umno pada PRN lalu menjadi tanggungjawab bersama dan menukar presiden tidak akan menyelesaikan masalah.

Desakan supaya Zahid bertanggungjawab dan meletak jawatan semakin kedengaran susulan prestasi buruk Umno pada PRN 12 Ogos lalu.

Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi iaitu 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor serta Pulau Pinang dan satu di Kelantan.

Di Terengganu dan Kedah semua calonnya kecundang termasuk tiga bekas menteri besar Ahmad Said, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Mahdzir Khalid.

Pada PRU15, Umno bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.