Rosmah ‘tak kerja’ tapi terima ‘sejumlah besar wang’, kata pendakwaan

Rosmah ‘tak kerja’ tapi terima ‘sejumlah besar wang’, kata pendakwaan

Perkara ini membawa kepada 'kesimpulan tidak dapat ditolak' bahawa wang dalam akaunnya hasil kegiatan menyalahi undang-undang, kata timbalan pendakwa raya.

Rosmah Mansor menghadapi 12 tuduhan pengubahan wang membabitkan RM7.09 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang dan pengelakan cukai Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa “sejumlah besar wang” dimasukkan ke akaun isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu walaupun beliau tidak bekerja.

Dalam pernyataan pembukaan yang dikemukakan kepada mahkamah pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, “jumlah wang yang dimasukkan sama sekali tidak seimbang dengan sumber pendapatan tertuduh (Rosmah)”.

Katanya, Rosmah menggunakan khidmat Roslan Sohari, pengurus rumah di Seri Perdana ketika itu, untuk memasukkan wang itu bagi pihaknya.

“Mesti disebut bahawa wang itu tidak pernah diisytiharkan kepada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) seperti dikehendaki undang-undang.

“Malah, cukai pendapatan tidak pernah dibayar bagi wang ini,” kata Akram.

Pihak pendakwaan berkata, wang yang dimasukkan ke akaun Rosmah kemudiannya digunakan untuk membayar bil telefon dan kad kredit keluarganya.

Akram turut mendakwa Rosmah memberi kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung wang itu.

“Kelakuannya dalam semua keadaan kes itu menyokong kesimpulan tidak dapat ditolak bahawa deposit itu hasil kegiatan menyalahi undang-undang.

“Disebabkan beliau tidak mengisytiharkan wang itu kepada LHDN, beliau turut melanggar Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan.”

Rosmah menghadapi 12 tuduhan pengubahan wang membabitkan RM7.09 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.