Lebih RM1 juta dimasukkan ke akaun Rosmah, mahkamah diberitahu

Lebih RM1 juta dimasukkan ke akaun Rosmah, mahkamah diberitahu

Seorang pegawai bank memberikan keterangan bahawa wang itu dimasukkan melalui mesin deposit tunai ke dalam akaun didakwa milik Rosmah Mansor.

Rosmah Mansor berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah Mansor diberitahu bahawa lebih RM1.09 juta dimasukkan ke akaun peribadinya antara 2014 dan 2017.

Pegawai bank Nor Ashikin Abdullah berkata wang itu dimasukkan melalui mesin-mesin deposit tunai di pelbagai cawangan ke akaun dengan nombor berakhir 0058, yang menurut pihak pendakwaan, milik Rosmah.

Nor Ashikin ialah penolong pengurus di jabatan perkhidmatan mesin wang pengeluaran automatik dan sokongan Affin Bank.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa sejumlah besar wang dimasukkan ke akaun itu dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai pendapatan.

Turut memberi keterangan hari ini Faizal Shamsuddin, bekas pegawai tentera yang pernah bertugas di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri.

Faizal memberitahu mahkamah, beliau diarahkan oleh Roslan Sohari, pengurus rumah Seri Perdana ketika itu, untuk pergi ke cawangan Affin Bank di Bangunan Getah Asli pada 17 Jun 2015.

Katanya, Roslan memberikan kepadanya sampul berwarna kuning untuk dibawa ke bank.

“Saya hanya tahu sampul itu mengandungi wang tunai apabila pegawai (bank) membukanya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn.

Faizal berkata, beliau mengisi borang dan memasukkan RM200,000 ke akaun Rosmah.

Terdahulu hari ini, peguam Rosmah, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memfailkan permohonan membatalkan tuduhan terhadap Rosmah atas alasan ia cacat.

Hakim K Muniandy memberitahu Firoz agar memfailkan permohonan itu sebelum tarikh perbicaraan seterusnya.

Rosmah sedang dibicarakan atas 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.

Perbicaraan bersambung pada 7 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.