
Beliau berkata, sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia itu ditumpaskan susulan penahanan ketua sindiket dikenali sebagai “Dudley”, selain tangkapan empat lelaki warga India berumur antara 25 hingga 40 tahun.
Katanya, dalam Ops Dudley pihak imigresen berjaya menyelamatkan 12 warga India yang menjadi mangsa sindiket.
“Berdasarkan maklumat, mangsa perlu membayar sekitar RM20,000 hingga RM25,000 seorang kepada sindiket untuk menguruskan kemasukan ke Malaysia. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu sempadan negara dibuka.
“Modus operandi sindiket adalah menjanjikan pekerjaan atas kapal kepada mangsa yang akan dibawa ke Malaysia melalui KLIA bagi membolehkan mangsa mendapat penerbangan ke Miri dan Sibu,” katanya dalam kenyataan.
Ruslin berkata, operasi dijalankan bermula 19 hingga 22 Ogos lalu di sekitar Sarawak itu turut merampas masing-masing sebuah Toyota Land Cruiser, Honda City, dan Suzuki Vitara, selain wang tunai RM600, 75 pasport India, tujuh pasport Indonesia, tiga pasport Myanmar serta empat komputer riba.
“Dalang utama warga tempatan direman selama tujuh hari, manakala empat lelaki warga India ditahan di Depot Imigresen Semuja,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.