20 lagi ditahan berkait penyokong Penang FC, Kedah gaduh

20 lagi ditahan berkait penyokong Penang FC, Kedah gaduh

Mereka yang berusia 18 hingga 30 tahun ditahan sekitar Pulau Pinang sejak semalam.

Tangkap layar video tular pergaduhan kedua-dua penyokong di luar Stadium Bandaraya selepas menyaksikan perlawanan Liga Super antara Penang FC dan KDA FC.
GEORGE TOWN:
Polis menahan 20 lagi lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan penyokong kelab bola sepak Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong, berkata semua mereka berusia 18 hingga 30 tahun ditahan sekitar Pulau Pinang sejak semalam.

“Tangkapan susulan itu berdasarkan siasatan dijalankan dan semua direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan hasil ujian saringan awal ke atas semua yang ditahan mendapati mereka negatif pengambilan dadah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua suspek disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat).

Soffian berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada lagi tangkapan susulan akan dibuat berdasarkan siasatan dijalankan berhubung kejadian itu.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Inspektor Lim Zhao Yong di talian 01119078888 bagi membantu siasatan.

“Tujuh lelaki yang ditahan selepas kejadian bagi membantu siasatan insiden pergaduhan itu dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Insiden kira-kira 11.20 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Perak dan disyaki berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar Stadium Bandaraya selepas menyaksikan aksi Liga Super membabitkan Penang FC dan KDA FC.

Dalam perlawanan pada Selasa, KDA FC menundukkan Penang FC 2-1 dalam aksi “derby” utara yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.