Siasat, jelas kepada umum ‘memo dalaman’ kes Najib, gesa Umno Pekan

Siasat, jelas kepada umum ‘memo dalaman’ kes Najib, gesa Umno Pekan

Menurut dokumen 12 halaman yang tersebar itu, pasukan pendakwaan kes IPIC sebulat suara mengesyorkan bahawa kes itu tidak layak dibawa ke mahkamah.

Fakhruddin Mohd Ariff berkata jika ‘memo dalaman’ yang tersebar itu sahih, maka jelas telah berlaku kezaliman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Pekan mendesak Peguam Negara Idrus Harun menyiasat dan menjelaskan kesahihan “memo dalaman” dihantar pasukan pendakwaan kes International Petroleum Investment Company (IPIC) membabitkan Najib Razak yang tersebar baru-baru ini.

Dalam kenyataan, Ketuanya Fakhruddin Mohd Ariff berkata, “memo dalaman” itu jelas menunjukkan pasukan terdiri tujuh timbalan pendakwa raya dan lima pegawai penyiasat sebulat suara mengesyorkan bahawa kes berkenaan tidak layak dibawa ke mahkamah kerana tidak cukup keterangan untuk disabitkan kesalahan.

“Jika dokumen ini sahih, maka jelas telah berlaku kezaliman terhadap beliau (Najib).

“Seharusnya Pejabat Peguam Negara menarik semula kesemua enam pertuduhan berkaitan kes 1MDB-IPIC ini,” katanya yang turut mendesak siasatan untuk mencari elemen salah guna kuasa.

Fakhruddin berkata, kes itu boleh menyebabkan implikasi yang sangat besar dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu kerana syarikat IPIC milik kerajaan Abu Dhabi.

Minggu lalu, sebuah media melaporkan Idrus berkata, siasatan mengenai kebocoran dokumen itu sedang dijalankan beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai kandungan dokumen berkenaan.

Dokumen itu didakwa memo dalaman daripada pasukan pendakwaan IPIC kepada bekas peguam negara Tommy Thomas pada September 2019.

Pada 2018, Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah melibatkan dana kerajaan berjumlah RM6.6 bilion, yang didakwa termasuk bayaran kepada IPIC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.