
Peguam M Pravin yang mewakili pemilik kelab itu, Rizal van Geyzel dan Shankar R Santhiram berkata keputusan tidak meneruskan kes itu dibuat selepas didedahkan kedua-duanya tidak disenaraihitamkan seperti dicadangkan sebelum ini.
“DBKL dalam afidavitnya mengesahkan perkara itu,” katanya kepada Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim Amarjeet Singh, yang dijadualkan mendengar kes itu hari ini, kemudian membatalkan permohonan itu tanpa memerintahkan sebarang kos.
Pada 23 Mei lalu, dua pemilik itu diberi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman selepas peguam negara mendedahkan beliau tidak membantah permohonan itu.
Peguam Khalisa Badrul Amini mewakili DBKL.
Permohonan kebenaran yang difailkan pada 24 Nov 2022 itu menamakan DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu Mahadi Che Ngah, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden.
Kedua-duanya memohon perisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu menyalahi undang-undang dan keputusan Jalaluddin serta kementerian melarang mereka mendaftar sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup di bawah nama dan syarikat lain tidak berperlembagaan.
Mereka turut meminta perintah mahkamah membatalkan keputusan itu atas alasan mereka mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan untuk menjalankan perniagaan dengan lesen sah di bandar itu.
Dalam afidavit sokongan mereka, dua pemilik itu berkata, Jalaluddin mengeluarkan kenyataan pada 17 Ogos 2022 bahawa Jawatankuasa Pelesenan DBKL memutuskan untuk membatalkan lesen kelab komedi itu berkuat kuasa 30 Julai tahun sama.
Jalaluddin berkata, pemilik itu disenaraihitamkan seumur hidup daripada mendaftarkan perniagaan di Kuala Lumpur.
Rizal dan Shankar mendakwa keputusan itu menjejaskan status mereka sebagai usahawan. Katanya, mereka tidak menerima sebarang notis atau surat rasmi daripada DBKL berhubung perkara itu.